::k0mik::
Komik... Sebut sahaja tentang medium bacaan ini, pasti pelbagai pandangan negatif yang wujud tentangnya. Komik sejak dahulu lagi hingga kini digambarkan sebagai sebuah bahan bacaan yang tidak berfaedah atau bahan bacaan picisan dan boleh menyebabkan anak-anak leka. Namun tidak dapat dinafikan kuasa komik amat besar dikalangan masyarakat dunia amnya. Contoh yang paling jelas, hero kegemaran ramai seperti Superman, Batman dan Spiderman sebenarnya diadaptasi daripada komik. Watak-watak ini akhirnya bukan sahaja menjadi bahan hiburan buat kanak-kanak malah turut ditontoni oleh golongan lain.
Walaupun komik boleh mendatangkan kelekaan kepada kanak-kanak, adalah tidak adil untuk kita meletakkan segala visi negatif terhadap komik. Walaupun komik boleh menyebabkan kanak-kanak menjadi leka, komik sebenarnya membantu membina imaginasi dalam minda kanak-kanak. Pakar-pakar dari seluruh dunia bersetuju penggunaan gambar-gambar serta warna-warna yang menarik membolehkan minda seseorang lebih aktif berbanding penggunaan medium yang lain. Pembentukan imaginasi ini menjadikan kanak-kanak tersebut menjadi lebih kreatif serta inovatif.
Komik juga sering dikaitkan dengan kesalahan tatabahasa serta istilah. Walau bagaimanapun penerbit kini semakin prihatin tentang masalah ini. Komik-komik kini khususnya yang diterjemah daripada bahasa asing seperti China dan Jepun menggunakan tenaga penterjemah yang benar-benar berkelayakan. Malah ada antara terjemahan yang dibuat diperkayakan dengan perkataan baru yang jarang didengar, simpulan bahasa serta peribahasa. Komik juga kini menjadi lebih bermaklumat dengan penerapan kata-kata tokoh terkenal seperti Conficuis, Ibn Sina dan Abraham Lincoln.
Terdapat juga sesetengah komik yang memaparkan tentang sejarah serta kehidupan masyarakat sekeliling. Contoh yang amat jelas lazimnya boleh dilihat daripada komik-komik Hong Kong dan China. Kebanyakan komik-komik China begitu mengutamakan budaya bangsa mereka. Komik "Alam Perwira" karya Tony Wong memaparkan perjalanan pengasas Dinasti Song yang dikenali dengan nama "Ji Fat" dalam usaha-usahanya menjatuhkan maharaja yang zalim lagi kejam, Maharaja Zhou. Dalam kisah tersebut juga dipaparkan kehebatan Maharaja China yang pertama, Maharaja Huang He yang menjadi inspirasi terhadap watak protagonis dalam komik ini.
Komik "Anak-anak Wira" juga hasil karya Tony Wong pula menggambarkan perjalanan wiranya, Juara dan Sri Bumi dalam menentang penjajahan serta pemerintahan korupsi Maharani Balu Chi Xi berlatarbelakangkan China sebelum Revolusi Budaya oleh Dr Sun Yat Sen.
Kisah-kisah ini jika dihayati bukan sahaja mendatangkan keseronokan kepada kanak-kanak malah secara tidak langsung menambahkan pengetahuan mereka tentang sejarah, yakni perkataan keramat yang sering menjadi simbol kebosanan dalam pelajaran mereka. Sayangnya tidak banyak pelukis-pelukis tempatan yang bijak menggunakan elemen ini dalam memperkayakan karya mereka.
Dalam komik Jepun bertajuk "Penyiasat Remaja" atau "Young Kindaichi" untuk tajuk asalnya pula, pembaca dihidangkan dengan kisah penyiasatan penuh misteri. Kisah ini bukan sahaja menerapkan unsur-unsur suspen, misteri dan humor malah turut membawa mesej-mesej kehidupan serta pengetahuan am yang penting tetapi jarang diketahui umum.
Sebenarnya, komik berpotensi untuk menjadi bahan bantu mengajar kepada guru-guru jika kena gayanya. Yang penting pelukis tempatan perlu lebih kreatif dalam usaha mempelbagaikan serta menjadikan karya mereka suatu bahan yang bermanfaat. Sesetengah pelajar juga boleh mengubah pandangan mereka terhadap lapangan pendidikan serta menarik minat mereka untuk membaca. Pelajar juga boleh mengaplikasikan kemahiran seni mereka untuk mencipta komik mereka sendiri. Pokoknya, kita sendiri perlu mengubah tanggapan negatif terhadap komik jika kita ingin memanfaatkan kebaikannya.
:: c0nt0h k0mik ::
|